NanaKhrl
Bonjour.


Diary About Links

dados



online:
of:
Owner: Nana
Age: 30
Thanks


Follow | Dashboard


Status.

Tidur.

Credits.


Re-Edit by : Razanna Hanim
Template by : Shira Radzuan
Basecodes by : Ainabillah
The pictures by : WeHeartit
Background by : 7th Disoder|Google
Cursor by : Ayem Rawi

Best view with Google Chrome


Oktober, 2024.

Hidup ini penuh dengan kenangan yang terkadang mengusik hati, terutamanya bila tiba saat-saat sunyi seperti sekarang. September 2024 berlalu begitu pantas, membawa bersama rasa sayu yang kadang-kadang sukar untuk aku ungkapkan. Entah kenapa, minggu ini terasa amat pilu, seolah-olah teringatkan sesuatu yang pernah berlaku dulu. Kisah lama yang tidak pasti salah siapa; takdir atau manusia itu sendiri? Atau mungkin benar kata orang, "right person, wrong time and place"? Aku sendiri tak pasti.

Ingat lagi waktu darjah 5, tahun 2007 – mungkin ia bermula lebih awal, tapi aku tak sedar atau mungkin tak ingat. Dia, teman sekelasku, duduk di belakangku. Nakal, tapi baik. Selalu kena marah dengan aku sebab dia suka buat bising. Ketika itu, ada desas-desus mengatakan dia suka padaku, tapi aku marah dia kerana ada perasaan seperti itu. Mungkin aku terlalu muda untuk faham.

Hari demi hari, tahun demi tahun berlalu. Ketika kami berumur 15 tahun, ura-ura tentang dia yang menyukaiku masih kuat. Tapi aku tidak pernah ambil serius. Pada umur sebegitu, aku rasa itu hanya gurauan semata. Setiap kali ada yang menyukaiku, pasti seluruh sekolah akan 'membahan', dan aku tidak mahu mengendahkannya selagi dia tak berani meluah secara langsung.

Umur kami meningkat ke 16, waktu itu ura-ura makin tersebar. Dia ajak aku berjumpa, mungkin untuk meluahkan perasaan. Aku pun setuju, tapi dengan syarat – jika betul dia menyukaiku, biar dia luah depan aku, bukan melalui orang lain. Kami berjanji bertemu di satu sudut di sekolah. Aku datang, menunggu dengan penuh harapan, tetapi dia tidak muncul. Aku kecewa, sangat kecewa. Hari itu, aku pulang ke kelas dengan hati yang berat. Salah faham yang mudah, tapi cukup untuk membuat aku kecewa.

Setahun berlalu. Pada umur 17, masih lagi tersebar ura-ura tentang dia yang masih menyukaiku. Kali ini, aku cuba untuk membuka hati, tapi seorang teman sekelas juga menaruh hati padanya. Tak mahu merosakkan persahabatan, aku memutuskan untuk berdiam diri dan mengorbankan perasaan sendiri. Kami berdua kecewa, tetapi tidak pernah meluahkan. Fokusku beralih kepada SPM, meninggalkan perasaan itu di belakang.

Waktu terus berjalan, dan selepas tamat sekolah, kami cuma bertukar khabar di media sosial. Sehingga tahun 2018, kami mula rapat semula, bersama kawan-kawan yang lain. Dia baik, sentiasa menjaga aku walaupun hanya sebagai kawan. Ketika keluargaku dijangkiti COVID-19, dia hari-hari memastikan aku baik-baik saja, membelikan aku air kelapa. Aku anggap itu sekadar perhatian seorang kawan.

Banyak aktiviti yang kami lakukan bersama – dari pergi muzium hingga mencanting batik, pengalaman yang amat berharga kerana aku tahu, aku tak dapat melakukan ini dengan sesiapa selain dia. Pada hari lahirku, dia mengajak aku ke Langkawi bersama keluarganya. Aku rasa sangat dihargai. Sepanjang percutian, dia menjaga aku dengan baik walaupun aku malu dengan keluarganya. Namun, caranya yang santai membuat aku selesa.

Kemudian, datang satu waktu dia mengatakan, "Ayah aku cakap, kalau aku masih single dan kau pun sama, dia nak masuk meminang kau je senang." Aku hanya ketawa, anggap itu sekadar gurauan. Tapi, sedikit demi sedikit, aku mula sedar bahawa ada sesuatu yang tersirat di sebalik kata-katanya.

Masa berlalu, dan dia mula menjauh. Aku cuma menyedapkan hati sendiri dengan berfikir mungkin dia sudah bertemu suri hatinya. Ternyata aku tidak salah. Dia akhirnya bercerita tentang seseorang yang telah hadir dalam hidupnya. Sekali lagi, aku kecewa dalam diam, tapi tetap tersenyum di hadapannya. Aku gembira untuk dia, walaupun dalam hati penuh duka.

Baru-baru ini, dia bertanya tentang diriku, sama ada aku sudah punya calon suami. Aku hanya memberi jawapan yang samar. Dia berkata, "Tak boleh jadi ni, lama sangat kau single. Nanti aku carikan calon untuk kau." Kata-kata itu membuat aku lebih kecewa. Kenapa bukan kau yang datang padaku?

Akhirnya, aku buat keputusan untuk meluahkan segalanya — tapi tidak semua. Setelah sekian lama memendam, aku tak mampu lagi. Aku tahu, mungkin sudah terlambat, tetapi aku lebih rela meluahkan daripada menyesal kerana terus menyimpan. Jawapannya seperti yang aku jangka. Aku persiapkan hati untuk menerima, tapi nyata aku belum cukup kuat. Malam itu, aku menangis sepuas hati, sehingga tertidur.

Ada satu perkara yang dia tak pernah tahu. Waktu itu, dia fikir aku sudah punya seseorang, namun hakikatnya aku sedang menunggu dia. Tanpa dia sedari, aku telah menolak seorang lelaki yang menyukaiku, hanya kerana hati ini sudah tertambat pada dirinya. Ironinya, lelaki yang aku tolak itu tahu perkara sebenar, tetapi bukan dia — orang yang aku tunggu dengan penuh harapan.

Aku memendam perasaan ini sekian lama, berharap suatu hari dia akan mengerti. Namun, masa berlalu dan keadaan tidak pernah berpihak kepada kami. Kini, hanya aku yang tahu rahsia ini, dan biarlah ia terus menjadi cerita yang tak terungkap di antara kami.

Kadang-kadang, rasa cinta itu bukan tentang memiliki, tetapi tentang belajar untuk melepaskan walau terluka di hati. Dan mungkin, sudah tiba saatnya untuk aku harus melepaskan, meski dulu hati ini pernah setia menanti dalam kesepian. Ya. Dalam diam aku menyimpan rasa sekian lama. Namun akhirnya, melepaskan hal itu lebih berharga. Biarlah ia jadi kenangan yang terindah, yang pernah hadir dalam hidup aku dengan cinta. Walau tak bersua di akhir cerita, namun ia tetap mekar di hati ini selamanya.

Pagi ini, aku kira diri ini sudah tenang. Namun air mata tetap jua mengalir perlahan. Hati masih belum mampu menerima sepenuhnya. Tetapi, aku pasrah. Biarlah takdir berbicara.

Kepada kamu yang pernah mengisi hati ini, ketahuilah, di saat kau mula menyukaiku dahulu, aku juga ada rasa yang sama. Cuma masa dan keadaan tidak pernah memihak kepada kita. Doaku sentiasa untuk kebahagiaanmu, walau dengan siapa pun kau bersama. Aku tidak mampu untuk bertemu denganmu lagi selepas ini. Tiada lagi kata yang mampu diucapkan, kerana setiap bicara hanya bakal merobek hati dan perasaanku. Dengan rasa berat, aku undur diri, meninggalkan semua kenangan yang pernah kita ukir bersama. Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidupku, mengisi ruang 'bab' yang penuh warna – walau sekadar sebagai teman. Jalan cerita kita indah, namun penutupnya sungguh menyakitkan bagiku. Biarlah kisah ini terukir dalam sanubari, sebagai memori yang takkan pernah pudar, walau kita harus berpisah. Aku doakan kau bahagia, walaupun bukan bersamaku. Semoga yang baik-baik saja untuk kau.

Tulus, dari seseorang yang pernah menyimpan rasa, dan yang pernah menunggu tanpa diketahui.